Monday, April 27, 2009

falsafah

PERCAYALAH JOHN

February 2nd, 2009 by zizaluziza

Bagi pendebat yang dizalimi janganlah susah hati kerana ada satu lagi mahkamah yang akan mengadili. Para penzalim janganlah senang hati, kamu akan dibicarakan di sana nanti, data dan fakta terang sekali. Di waktu itu kamu sendiri berpuas hati.

POKOKNYA DUIT 2

July 8th, 2008 by zizaluziza

Petani berduit mengikut musim. Orang makan gaji berduit di hujung bulan. Peniaga berduit bila hujung minggu. Nelayan berduit tidak menentu. Namun orang yang tidak ada mata pencarian tidak berduit sepanjang waktu.

PEMIMPIN PENDEBAT

July 8th, 2008 by zizaluziza

Pemimpin PENDEBAT itu, kata-katanya masin, pandangannya tembus, arahannya dipatuh sepenuh hati, fikirannya diterima tanpa ragu, gerak-gerinya jadi pengajaran dan ikutan. Berjalan bersamanya senang hati, pengikut-pengikutnya patuh tidak berbelah bagi. Mulut musuhnya kata benci tapi hati kecilnya mengakui

JE LINK

July 8th, 2008 by zizaluziza

Jelingan tidak sama ertinya. Jelingan pemimpin mempasti. Jelingan anak takut dimarahi. Jelingan bapa mengawasi. Jelingan kawan meminta simpati. Jelingan musuh sakit hati. Jelingan perempuan jatuh hati.

ANDA INGIN JADI APA ?

July 8th, 2008 by zizaluziza

Janganlah kita macam lalat membawa penyakit, macam nyamuk menggigit, macam anai-anai merosak, macam lintah menghisap darah. Tapi jadilah macam lebah, menghasilkan madu, mengubat penyakit. Sehingga Tuhan namakan satu surah sebagai surah LEBAH. Ambil madunya saranganya jangan di rosakkan !

ANTARA GUNUNG & LEMBAH

July 8th, 2008 by zizaluziza

Gunung yang tinggi tidak boleh menakung air, tapi lembah yang rendah boleh menakung air. Ia memberi erti orang yang meninggi diri tidak boleh mengambil hati orang. Sebaliknya orang merendah diri dapat memikat hati orang.

BAIK DILUPA, BURUK DIINGAT

July 8th, 2008 by zizaluziza

Bunga selalunya cantik tapi mudah layu. Tunggul kayu tidak menarik tapi tahan lama. Begitulah kebaikan, selalunya tidak dapat berterusan, tapi kejahatan itu selalunya berlarutan.

MELIRIK SENYUMAN

July 8th, 2008 by zizaluziza

Biasanya senyum orang politik untuk mencari pengaruh. Senyum saudagar menarik pelanggan. Senyum orang mukmin kerana bersedekah. Senyum kanak-kanak untuk menrik perhatian. Senyum wanita untuk menggoda.

SIAPA NAIKKAN SIAPA ?

July 8th, 2008 by zizaluziza

Biasanya kemasyhuran seorang anak boleh menaikkan imej bapanya atau ibunya, kalau kemasyhuran bapanya atau ibunya bertuah anaknya, dan kalau kemasyhuran suami akan memasyhurkan juga isterinya tetapi kemasyhuran seorang isteri boleh terhina suaminya.

MENGAPA PENJARA DI DUNIA DIPENUHI LELAKI MANAKALA PENJARA DI AKHIRAT DIPENUHI WANITA?

July 8th, 2008 by zizaluziza

Dimana-mana negara di dunia hari ini penjara-penjaranya dipenuhi kaum lelaki. Ini tidaklah pelik kerana kebanyakannya yang merompak, membunuh, menculik adalah di kalangan lelaki. Ertinya mengikut penialaian dunia kaum lelaki ramai yang jahat berbanding kaum wanita. Tetapi pada waktu yang sama, kaum wanita mendapat satu khabar yang mencemaskan iaitu Rasulullah SAW memberitahu bahawa penghuni neraka, 2/3 adalah terdiri daripada kaum wanita. Mengapa terjadi demikian?
Kerajaan manusia dan kerajaan tuhan tidak sama. Oleh itu ukuran Tuhan dan ukuran manusia juga adalah tidak sama. Ada pekara di dalam kerajaan Tuhan salah tetapi bagi kerajaan manusia tidak salah. Begitulah sebaliknya.

Contohnya dalam kerajaan Tuhan berat atau ringannya kesalahan tidak diukur dari sudut lahiriah atau nilaian fizikal. Banyak bentuk kes adalah yang tidak memerlukan kekuatan fizikal. Sebab itulah ia mudah dilakukan wanita seperti menjadi pelacur, penyanyi, dedah aurat, bergaul bebas, melawan suami dan lain-lain. Ianya tidak berat dari sudut fizikal. Sebab itu kaum wanita ramai melakukannya. Pada kerajaan manusia itu bukanlah satu kesalahan.
Manakala kesalahan-kesalahan dunia banyak yang berat-berat, tidak larat dan tidak mampu dibuat oleh kaum wanita seperti membunuh, rompakan, culik dan lain-lain. Sebab itulah ramai lelaki yang buat. Disinilah sebabnya mengapa ramai penghuni neraka daripada wanita, kesalahan yang nampak kecil pada manusa tetapi besar di sisi Tuhan. Kesalahan itu akan menjadi lebih besar apabila yang buat dosa tidak rasa berdosa lau tidak bertaubat ke atas dosa-dosa tersebut malah terus mengulanginya. Kaum wanita sepatutnya cemas dengan peringatan daripada Rasulullah SAW tersebut kerana begitu mudah untuk tergelincir ke Neraka jika tidak berhati-hati. Biarlah kita susah dan sakit di dunia dalam mentaati perintah Tuhan dan menjauhi larangannya bagi mengelak sakit yang berpanjangan di sana……

AKAL

July 8th, 2008 by zizaluziza

Ada orang tua badan (umurnya) tapi muda akalnya dan ada orang tua akalnya tapi muda badannya (umurnya).

POKOK

July 8th, 2008 by zizaluziza

Setinggi-tinggi pokok ada hujungnya, kalau kita memanjat pokok sampai ke hujungnya berhati-hatilah, di waktu itu petanda kita akan turun, malah kita turun dengan secara biasa agar kita akan selamat, jangan turun terjatuh kerana tidak berhati-hati, akan dapat memudaratkan. Begitulah seseorang bila naik menjadi pemimpin, janganlah mentang-mentang telah berkedudukan tinggi, kita sombong, kita boleh buat apa sahaja, kalaulah nanti sikap kita itu menjadi sebab kita jatuh gemanya besar dan kita dapat malu besar.

KHIDMAT SI MISKIN PADA SI KAYA

July 8th, 2008 by zizaluziza

Kalau hendak dikira logik, bahkan sepatutnya,
Orang-orang besar dan orang-orang kayalah yang lebih merendah diri,
Mereka itu adalah orang-orang yang keperluannya disediakan oleh ramai manusia,
Yang ramai di kalangan mereka adalah si miskin dan golongan yang menderita,
Rumah besarnya banyak buruh kasar yang menyiapkannya,
Sedangkan buruh-buruh itu rumahnya hanya gerobok buruk dan kecil sahaja,
Makanan yang sedap-sedap dan lazat serta berzat,
Buruh-buruh juga yang ramai terlibat menyediakannya,
Petani-petani yang lapar, miskin lagi susah yang berusaha menanam bahan-bahan mentahnya,
Nelayan-nelayan yang selalu menderita ke laut mencari ikan,buat lauk si pembesar dan si kaya,
Padahal nelayan itu sendiri memakan ikan yang murah-murah sahaja,
Pakaian-pakaian pembesar dan si kaya mahal-mahal belaka,
Fakir miskin yang menjadi buruh kasar mengharapkan sesuap nasi menjadi tenaga pengeluarnya,
Mereka sendiri pakaiannya adalah compang-camping sahaja,
Kenderaan mereka yang cantik, mewah lagi canggih buruh-buruh jugalah yang menjadi tenaga membuatnya,
Kenderaan itu orang kaya dan pembesar-pembesarlah yang memilikinya,
Si buruh berjalan kaki atau naik bas turun bas sahaja,
Mereka hanya boleh melihat sahaja tidak mampu memilikinya,
Putih mata, cicir air liur, penuh kecewa,
Rupanya makin berpangkat besar, semakin kaya,makin ramai orang yang berkhidmat kepada mereka,
Sama ada disedari atau tidak, dikenali atau tidak,
Yang ramai itu pula kebanyakannya adalah orang-orang yang miskin dan susah,

Tapi apa yang terjadi secara lumrahnya,
Orang-orang besar dan kaya yang sepatutnya merendah diri tapi berlaku sebaliknya,
Majoriti mereka itu sombong dan bangga,
Kesusahan orang miskin dan penderitaan mereka tidak pun mendapat simpati orang besar dan kaya,
Bahkan adakalanya mereka memandang rendah dan hina,
Fakir miskin terbiar tiada siapa yang membela,
Kerana itulah jurang pembesar dan kaya dengan si miskin terlalu jauh bezanya,
Padahal pembesar-pembesar selalu sahaja menslogankan perpaduan,
Mereka tidak sedar bahawa kesilapan mereka,
adalah salah satu faktor membawa perpecahan di kalangan etnik dan bangsa

BAGAIMANA MENGURUSKAN NAJIS & BANGKAI ?

July 8th, 2008 by zizaluziza

Hakikatnya dunia ini adalah kotor,
Ia adalah ibarat najis dan bangkai,
Najis dan bangkai benda yang busuk dan menjijikkan,
Kalau orang fahamlah bahawa najis itu adalah najis,
Bahawa bangkai itu adalah bangkai, siapa hendak?
Tapi Tuhan telah takdirkan manusia hidup di dunia,
Dunia ibarat bangkai dan najis

Hidup di dunia sementara waktu,
Akhirnya ke Akhirat semuanya,
Tuhan menyuruh hamba-hamba-Nya,
Pandai-pandailah menggunakan najis dan bangkai,
Bagaimana menggunakan najis dan bangkai itu?
Kita gunakan najis dan bangkai itu untuk membaja pokok Akhirat,
Ertinya kita jadikan dunia itu Akhirat,
Maka dia telah bernilai Akhirat, bukan nilai dunia lagi,
Kerana itu Rasulullah SAW bersabda:
“Dunia itu adalah tanam-tanaman ke Akhirat.”
Maksudnya dunia yang asalnya bangkai dan najis,
Kita jadikan baja untuk tanaman Akhirat,
Ertinya bangkai dan najis telah dimanfaatkan,
Kalau ia tidak dijadikan baja untuk tanaman Akhirat,
Ia tidak jadi Akhirat,
Ia tetap jadi dunia semata-mata yang tidak ada harga,
Alangkah jeliknya dunia yang tidak jadi Akhirat,
Adalah najis dan bangkai,
Manusia berebut-rebut hingga bergaduh,
Merebut najis dan bangkai,
Kerana itulah kitab ada menyatakan:
“Dunia yang tidak jadi Akhirat, ia adalah bangkai,
Yang menuntut bangkai itu adalah anjing,”
Ertinya, manusia yang memburu dunia yang tidak jadi Akhirat,
Seperti anjing memburu bangkai.

KUALI TETAP KUALI

July 8th, 2008 by zizaluziza

Kuali itu diletakkan di mana pun dan di dalam keadaan apa pun,
Ia tetap kuali,
Kuali itu tetap hitam legam,
Beralih tempat dan suasana ia tidak akan mengubah hakikatnya,
Kuali tetap kuali Ia tidak akan jadi intan berlian,
Letak di dapur pun kuali,
Letak di serambi pun kuali,
Sekalipun diletakkan di pelamin,
Tempat yang indah dan mulia,
Ia tetap juga kuali,
Begitulah manusia, HAMBA Allah,
Di mana pun ia berada,
Di dalam suasana apa pun ia berada,
Ia tetap HAMBA,
Ia tidak akan tukar jadi makhluk lain,
HAMBA tetap hina,
HAMBA tetap lemah,
Mereka memerlukan pertolongan dan bantuan,
Kalau dia petani tetap juga HAMBA,
Jika dia guru tetap juga dia seorang HAMBA,
Walaupun dia seorang kaya ia tetap juga HAMBA yang hina,
Sekali pun dia raja, menteri dan orang besar,
Nama HAMBA tidak akan berubah,
Jika dia menteri ia adalah salah seorang orang besar HAMBA,
Orang kaya pun HAMBA yang kaya di kalangan HAMBA,
Tapi manusia HAMBA Allah itu sungguh pelik,
Bila jadi raja atau menteri, orang besar atau kaya,
mereka sudah berpelajaran berubah sikap dan bertukar watak hidupnya,
Dia rasa luar biasa, ego, sombong pun tiba,
Orang lain dipandang hina,
Inilah dia HAMBA yang tidak sedar diri,
Awak hina merasa mulia